
KUALA NERUS – Persaingan Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) 2026 dijangka lebih terbuka apabila beberapa pasukan yang sebelum ini tidak mengambil bahagian kembali menguji kemampuan masing-masing pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail bermula Jumaat ini.
Kehadiran semula pasukan berkenaan menyaksikan sebanyak 38 pasukan tempatan bakal mengisi gelanggang selama tiga hari menerusi empat kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Bawah 21 Tahun dan Wanita Bawah 21 Tahun.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysia Rugby), Amir Amri Mohammad berkata, perkembangan itu memberikan dimensi berbeza kepada kejohanan tahun ini, khususnya apabila pasukan yang kembali bertanding dilihat semakin serius memperkukuh pembangunan pemain muda.
Menurutnya, peningkatan persediaan dan pelaburan dalam pembangunan bakat baharu berpotensi merapatkan jurang kekuatan antara pasukan sekali gus menjadikan perebutan gelaran lebih mencabar.
“Kehadiran beberapa pasukan yang kembali ke pentas National 7s tahun ini bakal memberikan cabaran berbeza berbanding edisi terdahulu. Kebanyakan mereka telah membuat pelaburan besar dalam pembangunan pemain muda dan kini lebih bersedia untuk bersaing dalam kategori utama,” katanya.
Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah antara pasukan yang kembali menyertai kategori Lelaki Terbuka, yang turut menyaksikan perubahan dari segi trofi apabila Piala Amir Amri diperkenalkan sebagai pengganti Piala Ung Khek Cheow.
Kategori itu menjadi saingan terbesar dengan penyertaan 15 pasukan, diikuti Wanita Terbuka yang membabitkan lima pasukan. Bagi kategori pembangunan, masing-masing 10 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita akan bersaing dalam kejohanan Bawah 21 Tahun.
Tumpuan turut terarah kepada Kelantan yang perlu mempertahankan kejuaraan Lelaki Terbuka selepas diundi dalam kumpulan bersama Johor, Selangor dan Pahang, sekali gus berdepan laluan awal yang mencabar.
Kelantan merangkul gelaran tahun lalu menerusi kemenangan 17-12 ke atas Johor pada perlawanan akhir, namun pasukan dari selatan tanah air itu dijangka kembali memberi tentangan dalam usaha merampas semula kejuaraan.
Selain itu, Selangor yang mencipta kejutan pada edisi lalu dengan memenangi kategori Wanita Terbuka dan Wanita Bawah 21 Tahun turut hadir dengan misi berbeza apabila hanya menghantar pasukan bawah 21 tahun bagi mempertahankan salah satu gelaran berkenaan.
Menariknya, Terengganu selaku tuan rumah dan Johor menjadi satu-satunya negeri yang menghantar wakil dalam kesemua empat kategori dipertandingkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Amir Amri berkata, persediaan penganjuran turut mengambil kira keadaan cuaca berikutan Terengganu kini memasuki fasa Monsun Timur Laut, namun situasi berkenaan tidak menjejaskan perancangan kejohanan setakat ini.
Katanya, kedudukan Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus yang berada dalam zon bebas banjir menjadi antara faktor yang membantu kelancaran penganjuran. Selain itu, penempatan kebanyakan pasukan dan pegawai di sekitar kawasan stadium dijangka memudahkan pergerakan serta penyelarasan sepanjang kejohanan berlangsung.
Untuk rekod, Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail terus menjadi gelanggang National 7s buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2024.



