
KUALA TERENGGANU — Seramai 64 anggota koperasi yang majoritinya terdiri daripada keluarga nelayan berpendapatan rendah di Seberang Takir, Kuala Nerus kini mempunyai peluang memperluaskan sumber pendapatan menerusi pembangunan sektor pelancongan sungai.
Inisiatif menerusi projek Terengganu Drawbridge River Cruise itu dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan peruntukan RM1 juta di bawah Program Desa Lestari.
KETENGAH bertindak sebagai agensi pelaksana dan pembayar bagi projek berkenaan yang menyaksikan penyerahan dua bot persiaran baharu, Khalifah 1 dan Khalifah 2, kepada Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad (KOWARIS).

Penambahan dua bot berkenaan menjadikan keseluruhan empat bot persiaran yang dikendalikan koperasi itu bagi memperluaskan perkhidmatan pelayaran sungai, sekali gus meningkatkan kapasiti penglibatan komuniti nelayan dalam aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan.
Pengerusi KOWARIS, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek yang dimulakan pada 2024 itu disasarkan mampu menjana pulangan sehingga RM20,000 sebulan, selain membuka peluang pendapatan alternatif kepada anggota koperasi khususnya ketika musim tengkujuh.
Menurutnya, perkhidmatan yang beroperasi dari Pulau Warisan itu turut menunjukkan potensi memberangsangkan apabila merekodkan kutipan RM50,000 dalam tempoh 10 hari ketika musim cuti.
Setiap bot mampu membawa maksimum 24 penumpang dengan operasi bermula dari jam 9 pagi hingga 8 malam setiap hari, meliputi laluan Sungai Terengganu hingga Pulau Kapas di Marang sebelum diperluaskan ke Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah pada awal tahun depan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bot Khalifah 1 dan Khalifah 2 di Pulau Warisan, di sini, pada 31 Oktober lalu yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Datuk Dr Roslan Mahmood.