KBS TERUS PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN BELIA AKAR UMBI

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol(tengah) disambut golongan belia sewaktu tiba di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, Pulau Duyong bagi program siri jelajah KIBAR 2026 pada 30 Oktober 2026.

KUALA TERENGGANU — Usaha mendekati golongan belia memerlukan pendekatan yang mengambil kira perbezaan keperluan dan persekitaran komuniti setempat, terutama dalam memastikan lebih ramai anak muda mendapat peluang menyertai aktiviti pembangunan masyarakat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, pendekatan turun padang menerusi Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 membolehkan kementerian mendengar sendiri pandangan golongan sasaran, termasuk belia yang berada di kawasan luar bandar.

Menurutnya, maklum balas yang diterima sepanjang siri jelajah berkenaan secara umumnya positif, namun setiap pelaksanaan perlu terus dinilai bagi mengenal pasti ruang yang boleh dipertingkatkan.

Katanya, penilaian terhadap keberkesanan program tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya perlu melihat sejauh mana golongan belia mengambil bahagian dan menyuarakan pandangan mereka.

Dari kiri – Moderator KIBAR 2026 Muhammad Muhairi Jasmani, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol dan Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu Mukhri Mamat.

“Kita tidak hanya memberi tumpuan kepada kawasan bandar, malah turut mendekati belia di luar bandar.

“Justeru, kita akan meneliti semula pelaksanaannya bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan untuk siri akan datang,” katanya ketika ditemui pada KIBAR Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara keperluan yang sering dibangkitkan dalam siri jelajah itu termasuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan sukan, selain bantuan serta sokongan kewangan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti belia.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga mahu memperluas pemahaman masyarakat mengenai skop tanggungjawabnya yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan golongan muda dan tidak terhad kepada penyediaan fasiliti sukan serta penyaluran geran.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol(tengah berbaju hitam) menyempurnakan gimik perlancaran jelajah Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, Pulau Duyong pada 30 Oktober 2026.

Sesi dialog yang menjadi sebahagian daripada pengisian program itu turut menyediakan ruang kepada peserta dari seluruh Terengganu untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan kementerian, selain mengemukakan pandangan mengenai keperluan belia di kawasan masing-masing.

Terengganu merupakan destinasi ke-16 daripada 17 siri jelajah KIBAR 2026 yang bermula pada April lalu, dengan Pahang dijadual menjadi lokasi terakhir inisiatif berkenaan.

Program itu memberi tumpuan kepada usaha mendekati golongan belia yang tidak berpersatuan, selain menggalakkan penyertaan lebih luas dalam aktiviti pembangunan komuniti.

POPULAR HARI INI