
KUALA TERENGGANU – Hari pertama Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang membuka tirai di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini, berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang membanjiri lokasi berkenaan sejak awal pagi bagi menyertai pelbagai aktiviti berteraskan sains dan inovasi.
Penganjuran selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai itu merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkasa budaya STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, sejajar dengan agenda pembangunan negara berasaskan teknologi dan inovasi.
Pelbagai pameran interaktif, demonstrasi sains serta penglibatan agensi dan institusi berkaitan STEM menjadi tarikan utama, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara hands-on dalam suasana santai berbentuk karnival.



Kehadiran pengunjung dari luar bandar turut menyerlah apabila ada dalam kalangan murid sekolah sanggup menempuh perjalanan jauh demi mendekati dunia STEM dengan lebih dekat.
“Sememangnya jarak bukan menjadi halangan untuk minat kami hadir ke karnival sains ini. Ada di antara kami hadir bersama dengan cikgu sekolah masing-masing begitu juga ada di antara mereka hadir bersama ibu bapa dan keluar sendiri untuk hadir bertemu di sini. Ianya satu pengalaman yang amat bermakna khususnya buat kami dari luar bandar,” kata Nurina Raudah Jannah Zulkifli, murid Tingkatan 4 Sekolah Menengah Seri Berang, Hulu Terengganu.
Bagi suri rumah sepenuh masa, Sanizaratna Mohd Shafiae, 44, penganjuran tanpa caj kemasukan sepanjang program berlangsung memberi kelebihan kepada keluarga untuk turut sama menikmati aktiviti yang disediakan.

“Untuk keluarga besar seperti kami apatah lagi sewaktu keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, kos menjadi pertimbangan untuk sesuatu perkara. Jadi hari ini kami memanfaatkan sepenuhnya peluang dan ruang yang ada ini secara tidak langsung merapatkan hubungan kekeluargaan pada hujung minggu ini. Sebenarnya, ini kali ke-4 kami menjejakan kaki ke sini dan sememangnya apa yang ada di pusat sains ini tidak pernah membosankan. Kali ini kami hadir lebih ramai dengan lain-lain sanak saudara,” ujarnya.
Sementara itu, pasangan pengantin baharu, Mohd Azrie Mat Amin bersama isteri, tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival berkenaan selepas dimaklumkan oleh rakan.

“Setiap kali cuti pada hujung minggu selalunya kami meluangkan masa di lain-lain tempat tumpuan pelancong, cuma kali ini terdetik untuk hadir ke sini ini setelah mendapat tahu penganjuran ini dari rakan kami di kampung. Bagi saya, karnival sains ini tidak hanya mampu menarik minat dari murid-murid sekolah atau generasi muda malah bagi orang dewasa seperti kami ini juga. Pameran berkaitan bahaya radiasi dalam kehidupan seharian ianya satu benda baru untuk saya ketahui,” katanya yang hadir dari Durian Guling, Marang.
Sebagai pembuka tirai, program ‘Jom Lari-Lari’ turut dianjurkan pada hari pertama dengan konsep santai dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menambah kemeriahan karnival yang memasuki edisi ke-4 penganjurannya dan dijadualkan berakhir pada Isnin ini.