HIPERSIS 7S HIMPUN 32 PASUKAN RAGBI DARI SELURUH NEGARA BERKAMPUNG DI KEMAMAN

Edisi sulung kejohanan ragbi HIPERSIS 7s cipta penanda aras bagi kejohanan ragbi yang menyasarkan penyertaan dari kalangan murid-murid sekolah.

KEMAMAN – Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (SKSI) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan kejohanan ragbi peringkat kebangsaan yang menghimpunkan 32 pasukan dari beberapa negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kejohanan dikenali sebagai HIPERSIS 7s itu berlangsung selama dua hari bermula 1 Mei lalu di Kolej Universiti TATI (UC TATI) dan mempertandingkan kategori bawah 12 tahun menerusi format tujuh sepasukan.

Penganjuran edisi sulung kejohanan berkenaan turut mendapat sambutan memberangsangkan apabila melibatkan penyertaan pasukan lelaki dan wanita dari pelbagai negeri.

Ibu bapa tidak melepaskan peluang hadir memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding dalam kejohanan ragbi HIPERSIS 7s 2026 di Kolej Universiti TATI (UC TATI), Kemaman.

Penaung kejohanan, Mohd Nasir Mat Omar berkata, HIPERSIS 7s diwujudkan sebagai platform pembangunan ragbi peringkat akar umbi khususnya bagi memberi peluang kepada pemain muda menimba pengalaman kompetitif.

Menurutnya, kejohanan itu juga menjadi medan persediaan kepada pasukan sekolah yang kini sedang membuat persiapan menghadapi kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) di peringkat negeri dan kebangsaan.

HIPERSIS 7s tournament patron Mohd Nasir Mat Omar, who is also the headmaster of Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman, Terengganu.

“Selama ini, peluang pertandingan untuk kategori sekolah rendah agak terhad menyebabkan banyak pasukan terutama dari Pantai Timur terpaksa menyertai kejohanan di luar negeri.

“Atas sebab itu, kami mengambil inisiatif menganjurkan HIPERSIS 7s bagi membantu memperkasa pembangunan ragbi di peringkat awal.

“Sambutan diterima sangat positif dan kehadiran pasukan dari luar Terengganu membuktikan kejohanan seperti ini sememangnya diperlukan,” katanya.

Pemain Chalok Cobra (kanan) cuba melepasi asakan pemain Pandan Eagle dalam aksi peringkat awal HIPERSIS 7s 2026 di Kolej Universiti TATI (UC TATI), Kemaman pada 1 Mei 2026.
Aksi sengit antara Akademi Ragbi Mersing (ARMERS) berjersi hijau dan Sertak Tigers dalam perlawanan akhir Plate HIPERSIS 7s 2026 di Kolej Universiti TATI (UC TATI), Kemaman pada 2 Mei 2026.

Mohd Nasir yang juga Guru Besar SK Sultan Ismail berkata, pihaknya berharap kejohanan itu dapat diteruskan secara tahunan dan menjadi antara platform utama pembangunan ragbi sekolah rendah di negara ini.

Sementara itu, Pengurus Akademi Ragbi Mersing (ARMERS), Muhammad Aliff Haikal Zaidi berkata, penyertaan pasukannya dalam HIPERSIS 7s memberi peluang berharga kepada pemain muda mendapatkan pengalaman pertandingan sebenar.

Katanya, kejohanan membabitkan kategori bawah 12 tahun masih jarang dianjurkan walaupun banyak sekolah rendah di seluruh negara mempunyai program pembangunan ragbi tersendiri.

“Disebabkan peluang seperti ini agak terhad, kami sanggup datang dari jauh untuk memberi pendedahan kepada pemain,” katanya.

Selain kategori lelaki bawah 12 tahun, kejohanan itu turut melibatkan kategori wanita dengan penyertaan 10 pasukan sekali gus memeriahkan lagi saingan di Kemaman.

POPULAR HARI INI