
BESUT – Taktik membeli diesel secara berperingkat menggunakan beberapa transaksi membawa padah apabila seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an ditahan dalam serbuan Ops TIRIS di Felda Selasih, Besut, malam tadi.
Serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas risikan hampir dua minggu. Pemeriksaan terhadap sebuah Toyota Hilux menemui kira-kira 1,000 liter diesel yang disimpan dalam tangki tambahan jenis Square Tank.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, siasatan awal mendapati empat resit pembelian daripada stesen minyak sama merekodkan transaksi masing-masing 250 liter dalam tempoh hampir sama, walaupun lelaki terbabit memiliki tiga permit barang kawalan aktif dengan had 200 liter setiap satu.

Diesel berkenaan dipercayai untuk kegunaan perusahaan projek pasir di sekitar Besut, manakala pihaknya turut menyiasat kemungkinan penyalahgunaan kemudahan kad armada di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM111,470 membabitkan Toyota Hilux, diesel, tangki tambahan, kad armada, empat resit dan tiga dokumen permit. Lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.



