
KUALA TERENGGANU – Orang ramai dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti rekreasi di kawasan pantai, sungai, air terjun dan lata berikutan risiko ombak besar serta laut bergelora susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, larangan itu termasuk mandi laut, berkelah dan mengutip kerang. Ibu bapa turut diminta mengawasi anak-anak daripada bermain di kawasan berisiko.
Peringatan itu susulan kejadian seorang remaja berusia 13 tahun hampir lemas ketika mencari kerang di Pantai Rusila, Marang beberapa hari lalu sebelum diselamatkan orang awam. Orang ramai diminta mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.