TERENGGANU PERLU 11 LAGI PASUKAN BOMBA SUKARELA

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menyasarkan penubuhan 11 lagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi memperluas liputan perkhidmatan kecemasan, khususnya di kawasan luar bandar yang berada di luar lingkungan tindakan balai bomba sedia ada.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, penambahan itu akan meningkatkan jumlah PBS di negeri ini kepada 23 pasukan berbanding 12 ketika ini, sekali gus membantu mempercepatkan tindakan awal ketika berlaku kecemasan.

Menurutnya, penubuhan PBS di lokasi strategik penting bagi memastikan penduduk di kawasan yang tidak dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan berdasarkan Norma Masa Tindakan (NAT) dan masa respons jabatan mendapat bantuan lebih awal.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad(tengah) turut melancarkan Pelan Tindakan Strategik JBPM Terengganu 2026–2030 pada Majlis Perhimpunan Sukuan JBPM

“Dengan adanya PBS di kawasan strategik, kita yakin bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat kepada penduduk di kawasan yang berada di luar liputan balai bomba sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Sukuan JBPM serta Gimik Pelepasan Pasukan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) bersama PBS, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 460 kawasan berisiko dikenal pasti di seluruh lapan daerah di Terengganu sepanjang MTL, dengan Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 97 lokasi.

Ia diikuti Dungun dengan 72 lokasi dan Hulu Terengganu sebanyak 63 lokasi, manakala selebihnya melibatkan daerah lain di negeri ini.

JBPM Terengganu turut memberi perhatian kepada risiko kejadian tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat yang dijangka berlaku sepanjang musim tengkujuh yang bermula pada 27 Oktober lalu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca, mengelakkan kawasan berisiko banjir serta tidak melakukan aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan sungai ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan.

POPULAR HARI INI