
KUALA TERENGGANU: TI Properties Sdn Bhd terus memperkukuh agenda kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat menerusi pelaksanaan inisiatif Environmental, Social and Governance (ESG) bersempena perasmian ibu pejabat baharunya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu TI Properties dan Pelancaran Pelaksanaan Inisiatif ESG 2023 itu berlangsung pada 6 November 2023, sebagai sebahagian daripada usaha syarikat memperkukuh kedudukannya dalam bidang pengurusan aset dan fasiliti. TI Properties yang ditubuhkan pada 2017 merupakan anak syarikat di bawah Terengganu Incorporated.
Menerusi inisiatif ESG berkenaan, pejabat baharu itu menerapkan beberapa elemen kelestarian alam sekitar termasuk usaha ke arah Zero Plastic, penggunaan tenaga solar bagi mengurangkan kos elektrik, sistem Rain Water Harvesting untuk mengumpul air hujan bagi kegunaan dalaman serta Vertical Wall Garden di ruang lobi bagi mewujudkan persekitaran pejabat yang lebih hijau.

Dalam masa sama, TI Properties turut memberi penekanan terhadap aspek tanggungjawab sosial menerusi pelaksanaan hampir 50 program berbentuk penajaan dan sumbangan sepanjang Januari hingga Oktober 2023.
Antaranya termasuk penajaan Yayasan Pelajaran MARA bagi murid cemerlang daripada keluarga miskin, bantuan kepada petugas dan sukarelawan mangsa banjir serta ribut, selain sumbangan kepada anak yatim sempena Ramadan.
TI Properties berkata, usaha itu selari dengan hala tuju Kerajaan Negeri menerusi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030, khususnya dalam usaha menjana sumber pendapatan baharu yang mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum.
Syarikat kini mengoperasikan beberapa aset termasuk Kuala Terengganu Drawbridge, Kerteh Industrial Park (KTIP), Flat Hiliran Kuala Terengganu, Kijal Permai Apartmen dan Kuari di Tebing Tembah, Paka, selain merancang pengembangan dalam bidang pengurusan fasiliti kesihatan.