PSKT-MOSTI PACU MINGGU SAINS NEGARA 2026 ZON TIMUR

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu yang terletak di Kuala Terengganu merupakan pusat sains terbesar di negeri Pantai Timur bakal menjadi tumpuan semperna Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Julai 2026 nanti.

KUALA TERENGGANU – Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh agenda pemerkasaan STEM apabila siri jelajah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur dijadual berlangsung pada 18 hingga 20 Julai ini.

Program tahunan berskala nasional itu menjadi wadah utama merangsang minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya dalam kalangan generasi muda luar bandar di Pantai Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, penganjuran kali keempat di lokasi sama membuktikan sambutan konsisten serta peranan strategik PSKT sebagai hab pendidikan sains komuniti.

Paparan digital interaktif yang disediakan di setiap galeri sains di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu menjadi daya tarikan utama untuk pengunjung merasai sendiri pengalaman berbeza bagi setiap aktiviti yang berlangsung semperna siri jelajah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur.

“Ini adalah penganjuran tahun ke-4 di sini dan sememangnya saban tahun ianya merupakan program tahunan yang sentiasa menjadi tumpuan buat masyarakat sekitar malah ada yang sanggup hadir dari negeri berhampiran untuk turut sama merasai pengalaman mahupun mendapatkan pengetahuan tentang bidang STEM secara lebih dekat lagi.

“Menambah menarik, untuk sepanjang 3 hari penganjuran Minggu Sains Negara 2026 ini tiada sebarang bayaran dikenakan bagi sesiapa sahaja termasuk mereka yang hadir dari luar Terengganu. Setiap pengunjung diberi penghormatan untuk merasai sendiri pengalaman mereka di PSKT ini sepenuhnya,” ujar beliau.

Replika rangka Spinosaurus bersaiz sebenar sering menjadi tumpuan untuk bergambar bersama keluar di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu.
Galeri I-Wonder merupakan di antara 9 galeri sains yang sering menjadi tumpuan golongan muda untuk mendekati bidang sains yang turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan demostrasi secara nyata menjadi pengalaman berbeza buat setiap pengunjung ke Pusat Sains & Kreativiti Terengganu.

Kerjasama erat MOSTI dan pelbagai agensi berkaitan menjadi tunjang utama menjayakan inisiatif ini, selaras aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).

Antara pengisian utama ialah program oleh Agensi Nuklear Malaysia bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat” pada 19 Julai di Auditorium PSKT, selain pertandingan muzikal sains melibatkan sekolah-sekolah zon Timur.

Secara keseluruhan, Minggu Sains Negara 2026 menampilkan lebih 10 acara utama serta pelbagai aktiviti sampingan berkonsepkan edutainment sesuai untuk seisi keluarga.

POPULAR HARI INI