KEMALANGAN NGERI DI JALAN LOSONG FERI

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan ngeri apabila van dinaikinya dirempuh sebuah kereta sebelum ditembusi tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Losong Feri, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Wah Han Keong, 18, yang duduk di bahagian penumpang hadapan van Nissan Vanette, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Volkswagen Golf GTI dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari bandar Kuala Terengganu menuju ke Muzium Losong.

“Kenderaan itu terbabas lalu melanggar tiang JKR di pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh van mangsa yang datang dari arah Taman Manir,” katanya.

Pelanggaran tersebut menyebabkan tiang JKR tumbang dan menembusi van sehingga terkena mangsa. Pemandu kereta bersama tiga penumpang termasuk seorang bayi berusia setahun tidak cedera, manakala seorang kanak-kanak lelaki lapan tahun mengalami luka ringan di kaki. Pemandu van berusia 49 tahun turut cedera ringan di tangan.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

POPULAR HARI INI