
KUALA TERENGGANU – Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang telah melabuhkan tirai penganjuran di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu(PSKT), Kuala Terengganu kelmarin melakar rekod baru setelah mencatat jumlah pengunjung terbesar dalam tempoh 4 tahun berturut-turut.
Menambah sensasi bagi penganjuran berbentuk karnival sains yang telah berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu lalu, jumlah pengunjung teramai yang diterima adalah pada hari terakhir iaitu seramai 8,396 pengunjung, diikuti oleh 5,137 pengunjung pada hari kedua dan 6,886 pada hari pertama pembukaan yang menghimpunkan keseluruhan seramai 20, 419 pengunjung.
Jumlah ini adalah 68% peningkatan jumlah pengunjung berbanding edisi lalu yang menerima seramai 12,185 jumlah pengunjung memberikan satu penanda aras baru buat selaku Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan PSKT selaku pemegang taruh bagi penganjuran berstatus kebangsaan di zon timur ini.

“Rekod baharu ini menjadi bukti jelas bahawa segala usaha PSKT dalam mempromosikan penganjuran Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur telah mencapai sasaran. Malah, jumlah kehadiran kali ini berjaya melepasi sasaran awal sekitar 15,000 pengunjung, dengan pencapaian jauh lebih tinggi daripada jangkaan.
“Berdasarkan data-data dan maklumbalas yang diterima, kita tidak boleh menafikan yang sebahagian besar pengunjung merupakan komuniti dari luar bandar yang terdiri dari murid-murid sekolah, generasi muda mahupun institusi kekeluargaan sekaligus memperkukuhkan kerangka program atau perlaksanaan dari peringkat kementerian untuk memberi akses sama rata dalam bidang sains ini. ,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.


Tambahnya, selain pameran agensi berkaitan yang sentiasa menarik minat pengunjung dari pelbagai peringkat usia, program berbentuk advokasi turut mendapat sambutan dengan penyertaan pelbagai agensi negeri serta ahli akademik yang hadir untuk bertukar pandangan.
Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada Sabtu lalu menghimpunkan keseluruhan 35 agensi termasuk kementerian berkaitan untuk berkampung di Kuala Terengganu ini.