PSKT KEKAL RELEVAN DALAM LANDSKAP AI DAN IR4.0

Dari kanan – Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Terengganu Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dato’ Ruziah Shafei sewaktu menyempurnakan masjlis perasmian Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur pada 19 Julai 2026.

KUALA TERENGGANU – Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak mengubah hakikat bahawa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kekal sebagai asas utama pembangunan negara, termasuk dalam memperluas akses kepada komuniti luar bandar yang masih berdepan kekangan capaian digital.

Di Pantai Timur, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) terus memainkan peranan strategik sebagai hab pendidikan sains apabila memasuki tahun ke-21 operasinya sejak ditubuhkan pada 2005. Institusi itu kekal komited merapatkan jurang pengetahuan dan pendedahan STEM kepada masyarakat setempat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, fungsi PSKT selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dalam memperkukuhkan keupayaan negara menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta gelombang teknologi AI.

Pameran oleh Jabatan Atom Malaysia turut menarik perhatian pengunjung cilik untuk turut sama meneroka dunia sains nuklear.

“PSKT kekal relevan dalam memperkukuhkan kerangka DSTIN, sekali gus menyokong kesiapsiagaan negeri ini menghadapi IR4.0 dan perkembangan AI.

“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Terengganu, malah menjadi pusat rujukan utama bagi masyarakat dari negeri lain, khususnya kerana ia satu-satunya fasiliti pusat sains di Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di sini.

Menurutnya, kewujudan PSKT memberi nilai tambah kepada generasi muda untuk mendekati bidang STEM secara lebih praktikal melalui pengalaman interaktif yang disediakan.

Pusat Sains & Kreativiti Terengganu bukan sekadar pusat pameran dunia sains semata-mata malah menjadi tumpuan untuk aktiviti bersama keluarga masing-masing.
Sebanyak 35 agensi berkaitan termasuk Pusat Sains Negara turut hadir memeriahkan sambutan Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 Julai 2026 lalu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu, Kuala Terengganu.

PSKT sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Minggu Sains Negara Zon Timur bagi tahun keempat berturut-turut. Edisi kali ini tampil dengan konsep karnival yang menghimpunkan 35 agensi melalui pelbagai pameran interaktif serta aktiviti sampingan.

Antara tarikan utama ialah program “Nuklear Untuk Rakyat” anjuran Agensi Nuklear Malaysia yang mengetengahkan peranan teknologi nuklear serta aplikasinya dalam kehidupan seharian.

Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur berlangsung selama tiga hari bermula 18 Julai hingga 20 Julai, merupakan inisiatif tahunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkukuh budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.

POPULAR HARI INI