
KUALA BERANG – Seramai 120 peserta menyertai Program Kembara Pengguna Bijak 2026 bertemakan “Moh Turun Koberang Kite” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab pengguna.
Program bimbingan KPDN Negeri Terengganu itu melibatkan 60 motosikal dan 20 kereta yang memulakan konvoi dari Dataran Batu Burok pada jam 7.45 pagi.
Antara pengisian utama ialah advokasi kepenggunaan di Pasar Sehari Pekan Kuala Berang menerusi perkongsian maklumat melalui kod QR Info Kepenggunaan serta promosi aplikasi Price Catcher bagi membantu pengguna membuat perbandingan harga barangan. Inisiatif ReDI turut diketengahkan dengan tawaran baucar e-dompet Setel bernilai RM20 kepada 1,000 pengunjung terawal.



Program turut menyantuni masyarakat menerusi misi Ihsan Foodbank di Kampung Dura, apabila 21 ketua isi rumah dalam kalangan golongan asnaf menerima sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM100 setiap seorang, dengan jumlah keseluruhan RM2,100.
Program diakhiri dengan sesi sembang santai dan kuiz kepenggunaan bagi memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai peranan KPDN, di samping menggalakkan penggunaan teknologi dalam urusan jual beli serta memupuk semangat kebersamaan melalui aktiviti kemasyarakatan.