PSKT LAKAR SEJARAH MINGGU SAINS NEGARA, KEHADIRAN TERTINGGI SEPANJANG EMPAT TAHUN

Pameran berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tidak hanya menarik minat generasi muda malah pelbagai peringkat usia untuk turut sama merasai pengalaman tersendiri semperna Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 18 Julai 2026 lalu bertempat di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang telah melabuhkan tirai penganjuran di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu(PSKT), Kuala Terengganu kelmarin melakar rekod baru setelah mencatat jumlah pengunjung terbesar dalam tempoh 4 tahun berturut-turut.

Menambah sensasi bagi penganjuran berbentuk karnival sains yang telah berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu lalu, jumlah pengunjung teramai yang diterima adalah pada hari terakhir iaitu seramai 8,396 pengunjung, diikuti oleh 5,137 pengunjung pada hari kedua dan 6,886 pada hari pertama pembukaan yang menghimpunkan keseluruhan seramai 20, 419 pengunjung.

Jumlah ini adalah 68% peningkatan jumlah pengunjung berbanding edisi lalu yang menerima seramai 12,185 jumlah pengunjung memberikan satu penanda aras baru buat selaku Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan PSKT selaku pemegang taruh bagi penganjuran berstatus kebangsaan di zon timur ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Mohd Huzairil Nizam Ibrahim

“Rekod baharu ini menjadi bukti jelas bahawa segala usaha PSKT dalam mempromosikan penganjuran Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur telah mencapai sasaran. Malah, jumlah kehadiran kali ini berjaya melepasi sasaran awal sekitar 15,000 pengunjung, dengan pencapaian jauh lebih tinggi daripada jangkaan.

“Berdasarkan data-data dan maklumbalas yang diterima, kita tidak boleh menafikan yang sebahagian besar pengunjung merupakan komuniti dari luar bandar yang terdiri dari murid-murid sekolah, generasi muda mahupun institusi kekeluargaan sekaligus memperkukuhkan kerangka program atau perlaksanaan dari peringkat kementerian untuk memberi akses sama rata dalam bidang sains ini. ,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Pendekatan secara bersemuka memberi tambah nilai Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur untuk merapatkan jurang bidang sains khususnya bagi menarik minat generasi muda menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Setiap pengunjung diberi peluang untuk merasai pengalaman sendiri mendekati teknologi robotik yang menjadi sebahagian dari bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Tambahnya, selain pameran agensi berkaitan yang sentiasa menarik minat pengunjung dari pelbagai peringkat usia, program berbentuk advokasi turut mendapat sambutan dengan penyertaan pelbagai agensi negeri serta ahli akademik yang hadir untuk bertukar pandangan.

Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada Sabtu lalu menghimpunkan keseluruhan 35 agensi termasuk kementerian berkaitan untuk berkampung di Kuala Terengganu ini.

POPULAR HARI INI