
KUALA TERENGGANU – Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak mengubah hakikat bahawa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kekal sebagai asas utama pembangunan negara, termasuk dalam memperluas akses kepada komuniti luar bandar yang masih berdepan kekangan capaian digital.
Di Pantai Timur, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) terus memainkan peranan strategik sebagai hab pendidikan sains apabila memasuki tahun ke-21 operasinya sejak ditubuhkan pada 2005. Institusi itu kekal komited merapatkan jurang pengetahuan dan pendedahan STEM kepada masyarakat setempat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, fungsi PSKT selari dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) dalam memperkukuhkan keupayaan negara menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 serta gelombang teknologi AI.

“PSKT kekal relevan dalam memperkukuhkan kerangka DSTIN, sekali gus menyokong kesiapsiagaan negeri ini menghadapi IR4.0 dan perkembangan AI.
“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Terengganu, malah menjadi pusat rujukan utama bagi masyarakat dari negeri lain, khususnya kerana ia satu-satunya fasiliti pusat sains di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di sini.
Menurutnya, kewujudan PSKT memberi nilai tambah kepada generasi muda untuk mendekati bidang STEM secara lebih praktikal melalui pengalaman interaktif yang disediakan.


PSKT sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Minggu Sains Negara Zon Timur bagi tahun keempat berturut-turut. Edisi kali ini tampil dengan konsep karnival yang menghimpunkan 35 agensi melalui pelbagai pameran interaktif serta aktiviti sampingan.
Antara tarikan utama ialah program “Nuklear Untuk Rakyat” anjuran Agensi Nuklear Malaysia yang mengetengahkan peranan teknologi nuklear serta aplikasinya dalam kehidupan seharian.
Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur berlangsung selama tiga hari bermula 18 Julai hingga 20 Julai, merupakan inisiatif tahunan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkukuh budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat.