
Kuala Nerus – Sebuah rumah jenis separuh kekal di Jalan Ketapang 6, Kampung Teluk Ketapang, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku turut menghanguskan tiga buah kenderaan serta ribuan telur itik milik penghuni rumah tersebut.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 18:31:01, sebelum pasukan bomba dari BBP Kuala Nerus dan BBP Jalan Kota bergegas ke lokasi kejadian. Jentera pertama tiba pada 18:39:35, diikuti jentera utama pada 18:42:30. Seramai 15 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Hilux dikerahkan untuk mengawal api yang marak.



Menurut Komander Operasi, PBT II Mohd Shahril Bin Abd Halim, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh rumah. Api yang marak turut memusnahkan sebuah kereta Citroen yang terbakar 50%, serta dua motosikal jenis Honda Wave dan Honda C70 (TD 9295) yang terbakar 100%. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini.
Selain kemusnahan harta benda, kebakaran ini turut menyebabkan ribuan biji telur itik bernilai hampir RM5,000 hangus terbakar. Pemilik rumah, Zunailah Harun, 53, yang menjalankan perniagaan telur itik sepenuh masa, mengalami kerugian besar akibat kejadian ini. Suaminya, Solihin Mohd, 57, yang berada di luar rumah ketika kejadian, bergegas pulang selepas dimaklumkan oleh rakan
Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun laporan awal menyatakan ia mungkin berpunca daripada dapur rumah ketika mangsa sedang memasak.