KEJOHANAN RAGBI WARNAI SAMBUTAN 25 TAHUN UMT

Pasukan Universiti Malaysia Kelantan(jersi berwarna merah) merupakan di antara pasukan luar dari Terengganu yang turut hadir memberi saingan Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT yang telah berlangsung di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, Kuala Nerus, Terengganu.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih pendekatan unik untuk meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya apabila buat pertama kali menganjurkan kejohanan ragbi universiti yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar IPT di negeri Terengganu ini.

Acara sehari penuh di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail itu menghimpunkan lapan pasukan jemputan dengan 20 perlawanan berlangsung, sekali gus menjadi kayu ukur baharu bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang turut disokong oleh Pusat Sukan & Rekreasi UMT dalam membuktikan kemampuan mereka sebagai penganjur seperti mana lain-lain penganjur di luar sana.

Pengarah pertandingan Nurul Syazwani Norazman(tengah) yang juga merupakan pelajar tahun dua Sarja Muda Pengurusan Pelancongan di universiti ini bersama rakan-rakan lain yang juga merupakan jawatankuasa penganjuran edisi sulung Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT yang telah berlangsung selama sehari di sini.

Menurut pengarah pertandingan, Nurul Syazwani Norazman berkata pengalaman ini membuka lembaran baharu buat pelajar UMT kerana sebelum ini mereka hanya turun sebagai pasukan bertanding.

“Satu pengalaman baru buat kami selaku penganjur di mana selama ini kami hanya hadir selaku pasukan bertanding. Walaupun hanya melibatkan 8 pasukan jemputan sebagai permulaan namun dengan penyertaan pasukan dari Pahang dan Kelantan memberi penanda aras untuk kami selaku penganjur.

“Hasil maklum balas positif yang diterima, kami tidak menolak untuk penganjuran yang lebih besar lagi pada pertengahan tahun ini,” berkata Nurul Syazwani Norazman yang juga merupakan pelajar jurusan sarjana muda pengurusan pelancongan

Ujarnya lagi melalui penganjuran ini turut memberi peluang kepada Stingrays RC, satu-satunya kelab ragbi di UMT bagi menambah minit – minit permainan yang amat diperlukan untuk mengekalkan prestasi momemtum semasa pasukan di tahap yang terbaik.

Thunder UCTATI RC(jersi berwarna maroon) yang juga merupakan sebuah pasukan ragbi dari institusi pengajian tinggi dari Kemaman turut hadir berentap memburu kejuaraan Kejohanan Ragbi 25 Tahun UMT yang telah berlangsung di padang Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, Kuala Nerus, Terengganu.

Bagi pengurus KPTM Bullets RC, Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly, usaha UMT ini wajar dijadikan acara tahunan kerana kekurangan pertandingan ragbi di pantai timur.

“Kami sanggup untuk menempuhi perjalanan dari Kuantan hadir ke negeri Terengganu ini oleh kerana ketandusan penganjuran di negeri-negeri pantai timur ini di mana selama ini kami terpaksa mencari minit-minit permainan di pantai barat atau selatan tanah air.

“Walaupun dianjurkan oleh pelajar-pelajar UMT sepenuhnya yang tidak pernah terlibat dalam teknikal penganjuran, kita boleh lihat hari ini mereka berjaya melakukan tanpa sebarang masalah.

“Kredit seharusnya diberikan kepada usaha mereka ini dan kami mengharapkan ianya akan menjadi acara tahunan. Kami juga mengharapkan kategori IPT dan wanita diperkenalkan memandangkan sebahagian besar pasukan melibatkan IPT dan mempunyai pasukan ragbi wanita,” ujar Mohd Ad Deen Al Haj Zulkefly yang juga merupakan pegawai akademik dan peperiksaan di situ.

Dalam edisi sulung ini, Tuetowear RC muncul juara selepas menewaskan IPG KB dari Kelantan dengan keputusan 30-0. Sementara itu, pasukan tuan rumah Stingrays RC menamatkan saingan sebagai naib juara Plate apabila tewas 5-21 kepada Dungun Rugby.

POPULAR HARI INI