
KUALA TERENGGANU – Istiadat pemakaman adinda Sultan Terengganu, Almarhum Yang Amat Mulia Dato’ Seri Dr. Tengku Baderul Zaman ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, berlangsung di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, petang ini.
Istiadat yang disempurnakan pada jam 6.10 petang itu dihadiri kerabat diraja Terengganu serta kerabat diraja Pahang, selain barisan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Tengku Paduka Raja Tengku Ibrahim Shah ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggung Raja Dato’ Seri Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, bersama kerabat diraja Terengganu yang lain.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berangkat memberikan penghormatan terakhir. Baginda diiringi Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bersama isteri, serta Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Nor bin Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham, bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Jenazah Almarhum yang mangkat pada usia 52 tahun tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, pada jam 1.20 tengah hari menerusi pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dari lapangan terbang, jenazah dibawa ke Balai Islam, Istana Syarqiyyah dan tiba pada jam 2 petang bagi membolehkan kerabat diraja serta tetamu memberikan penghormatan terakhir. Jenazah kemudian disolatkan sebelum dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada jam 5.03 petang untuk istiadat pemakaman.
Bacaan tahlil dan doa pada istiadat berkenaan dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berbahagia Profesor Dr. Syed Hadzrullathfi bin Syed Omar.
Almarhum menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.20 pagi di Gleneagles Hospital, Kuala Lumpur.
Pemergian Almarhum meninggalkan balu, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail, serta tiga orang anak.