
Seorang penjawat awam di antara 179 ditahan dalam Operasi Perdana(Op Perdana) Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK Terengganu) yang berlangsung serentak melibatkan lima daerah dalam negeri ini selama tiga hari bermula pada 23 Oktober lalu.
Operasi berskala besar yang melibatkan pelbagai agensi sokongan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM Terengganu) dan Majis Keselamatan Negara(MKN Terengganu) turut menyasarkan sektor industri perikanan yang mutakhir ini mempunyai peningkatan bilangan kes di beberapa kawasan titik panas dalam negeri ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah tidak menolak faktor geografi perairan negara bersempadan dengan negara jiran menjadi tumpuan bagi aktiviti tidak bermoral ini.
Selain Terengganu, beberapa lain-lain negeri yang bersempadan dengan negara jiran seperti Kelantan, Perlis dan Kedah juga mencatatkan jumlah kes yang tinggi berkaitan kegiatan haram di perairan negara yang turut menjadi fokus bagi pencegahan bersepadu ini.

“Data menunjukkan kadar penagihan atau penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan adalah tinggi di mana hasil risikan oleh kami bersama-sama dengan lain-lain agensi-agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah mengenal pasti beberapa aktiviti pengedaran dadah telah berlaku di perairan negara.
“Perkembangan ini turut menyumbang aktiviti tidak bermoral di kalangan komuniti nelayan mahupun sesiapa sahaja di dalam sektor industri perikanan negara”, ujar Timbalan Ketua Pengarah(Bahagian Operasi) AADK Zainuddin Abdullah.
Mengulas lanjut tentang penyalahgunaan dadah di kalangan penjawat awam, Zainuddin Abdullah memberi gambaran ianya dalam situasi yang membimbangkan dan perlu segera diambil langkah-langkah penguatkuasaan termasuk program pemulihan yang memerlukan sokongan oleh setiap pihak.

Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang telah diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara bermula pada Ogos lalu dilihat mampu memberi penguatkuasaan secara komprehensif termasuk bagi aktiviti menghidu gam dan meminum air daun ketum.